Kerja dikedai jual Arak seperti 7e, speedmart dan pasaraya


 SOALAN:

Assalamualaikum wrm wbt,

Hukum bekerja di Seven Eleven dan Speed Mart yang menjual arak?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrm wbt,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah, 5:90

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abdurrahim bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وإن الخمر حرام وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.

 Hadis riwayat Ahmad (17995) dalam Musnad. Syuaib al-Arnaut berkata hadis ini sahih li ghairih.

Justeru bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan.

Namun begitu, jika pendapatan seseorang itu bercampur baur antara haram dan yang halal maka menerima harta yang dia beri adalah tidak haram kerana tidak yakin pemberian itu bersumberkan yang haram. Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah umum fiqh:

اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan

Beliau memasukkan sebagai faedah, huraian Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni  tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya, “Seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari harta orang tersebut sumber haram, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan, tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”. Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (1/74-75).

Justeru kami berpandangan dalam isu bekerja di kedai 7-Eleven, Speed Mart atau di kedai-kedai lain yang seumpama dengannya dalam penjualan arak:

  1. Jika pekerja itu terlibat dengan jual beli arak itu contohnya di kaunter, maka hukum perbuatan itu adalah haram sekalipun dengan martabat yang lebih rendah daripada meminumnya. Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam al-Mirqah Sharh al-Misykah dalam menghuraikan hadis riba: “Mereka sama dari sudut mendapat dosa tetapi berbeza daripada segi tingkatannya.”
  2. Sebaiknya berusaha dengan sebaik mungkin untuk memisahkan kaunter barangan yang halal dan barangan yang haram, atau mengikut pekerja, dan ini adalah tanggungjawab majikan yang perihatin terhadap kebajikan agama para pekerja Muslim.
  3. Jika pendapatan atau gaji yang mereka perolehi ialah daripada hasil jualan syarikat yang halal dan haram, maka hukumnya adalah tidak haram mengambilnya tetapi makruh.

Kami juga mencadangkan agar carilah pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Benarlah sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.

Hadis riwayat Bukhari (52) dan Muslim (20)

Ibubapa memainkan peranan penting didalam hal ini. Ramai remaja tidak menghiraukan perkara ini. Banyak lagi peluang-peluang lain yang boleh menjadi punca pendapatan kita.


10 golongan sama seperti peminum arak

1. Pemerah arak : iaitu pekerja -pekerja yg melakukan kerja pemerahan buah-buahan seperti anggur yg bertujuan hasil dari perahan anggur itu akan dijadikan arak . samada mengunakan teknologi moden atau cara lama. Hasil pekerjaannya ( upah/gaji yg diterima ) adalah haram begitu juga perbuatannya.


2. Meminta diperahkan arak untuknya : Bermaksud majikan /pengurus sesebuah syarikat yg mengaji beberapa orang pekerja di kilangnya untuk bekerja sebagai operator pengeluaran .Maka haramlah pekerjaannya itu.

3. Peminum arak : Orang yg meminum arak walaupun setitik /tidak mabuk /hanya cuba-cuba .perbuatan itu adalah haram

4. Pembawa arak : Ia boleh dimaksudkan sebagai pelayan di sesebuah restoran/kedai makan /hotel dsb . ataupun boleh juga dimaksudkan sebagai pemandu lori yg membawa muatan arak dari sesuatu tempat ke suatu tempat yg lain .Perbuatan itu adalah haram walaupun ia tidak meminumnya .


5. Meminta dibawakan arak kepadanya bermaksud seseorang yg membuat pesanan arak samada untuk diminum ataupun di simpan sebagai koleksi .Maka perbuatan itu adalah haram


6. Memberi minum arak kepada orang lain bermaksud seseorang yg memberi orang lain minum padahal dia tidak meminumnya cth : seseorang muslim membelanja minum rakannya non muslim minum arak di sesebuah restoran. Perbuatan itu adalah haram

7. Penjual arak : Boleh diertikan sebagai tuan kedai /restoran yg menjual arak kepada pelanggannya walaupun dia tidak meminumnya ,perbuatan itu juga haram .


8. Orang yg mendapat hasil drp arak : Suatu skop yg lebih luas dan pelbagai bolehlah dikatakan sebarang aktiviti yg berkaitan dengan arak adalah haram cth : Pengawal Keselamatan yg mengawal keselamatan kilang arak dan mendapat gaji drp pengurus kilang tersebut . Maka perbuatan/gaji itu adalah haram.


9. Orang yg membeli arak bermaksud orang yg membeli arak samada untuk diminum atau tidak . Maka perbuatan itu pun haram

10. Orang yg meminta dibelikan arak untuknya : Bermaksud seseorang yg meminta seseorang yg lain membelikan arak untuknya kerana sebab yg tertentu .Cth seorang muslim meminta rakannya non muslim membelikan arak untuknya ,maka perbuatan muslim itu adalah haram


Justeru, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentukan ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup.

Wallahua’lam.

Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan.

Rujukkan: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2081-al-kafi-509-hukum-bekerja-di-kedai-serbaneka-yang-menjual-arak



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Durian runtuh Duit Kripto buat rumah Banglo